Semenanjung Emas atau Golden Khersonese

Didalam lipatan sejarah, tanah semenanjung ini dikenali sebagai Semenanjung Emas oleh seorang pendita Yunani, Claudius Ptolemaeus, (Greek: Κλαύδιος Πτολεμαῖος; c. 90 – c. 168) atau Ptolemy. Ia merupakan nama lama yang digunakan untuk merujuk kepada Tanah Melayu.

Semasa zaman rom purba, Tanah Melayu adalah sumber utama emas, disebabkan itu gelaran Semenanjung Emas diberikan untuk merujuk Tanah Melayu.

Malahan kajian sesetengah pihak telah mendapati orang-orang Tanah Melayu telahpun menjalankan urusniaga perdagangan bukan sahaja emas, malahan rempah ratus, gaharu, kapur barus, wangian kepada tamadun yang lebih tua iaitu zaman dinasti firaun yang membina tamadun piramid. Mari kita singkap sedikit demi sedikit kisah-kisah perjalanan tamadun kerajaan dan umat Melayu yang kaya dengan kesenian budaya dan teknologi pelayaran dan pembinaan.

Saturday, March 5, 2011

Syair Perahu ~ Hamzah Fansuri



Inilah gerangan suatu madah, mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah, di sanalah i’tikat diperbetuli sudah.

Wahai muda kenali dirimu, ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu, ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman, hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan, itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu, hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ, supaya laju perahumu itu.



Sudahlah hasil kayu dan ayar, angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir, niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu, muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu, menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak, di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak, ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang, riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang, hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit, di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit, sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh, hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh, pulaunya jauh tempat berlabuh.

Lengkapkan pendarat dan tali sauh, derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,  La ilaha illallahu akan tali yang teguh.

Barang siapa bergantung di situ, teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju, selamat engkau ke pulau itu.

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut, di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut, pertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Silan terlalu dalam, di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam, larang mendapat permata nilam.

Laut Silan wahid al kahhar, riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar, perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah, ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah, selamatlah engkau sempurna musyahadah.



Silan itu ombaknya kisah, banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu ‘azamah, perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut Kalzum terlalu dalam, ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam, perbaiki na’am, siang dan malam.


 Ingati sungguh siang dan malam, lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam, ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh, angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya, datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya, berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya, ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya, “yakin akan Allah” nama pawangnya.

“Taharat dan istinja’” nama lantainya, “kufur dan masiat” air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya, tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya, istighfar Allah akan layarnya,
“Allahu Akbar” nama anginnya, "subhanAllah" akan lajunya.

“Wallahu a’lam” nama rantaunya, “iradat Allah” nama bandarnya,
“kudrat Allah” nama labuhannya, “syurga jannat an naim" nama negerinya.

Karangan ini suatu madah, mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam’ah, di dalam kubur berkhalwat sudah.


Kenali dirimu di dalam kubur, badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur? di balik papan badan terhancur.

Di dalam dunia banyaklah mamang, ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang, itulah membawa badan terbuang.

Tuntuti ilmu jangan kepalang, di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang, menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.

Tongkatnya lekat tiada terhisab, badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap, (baris ini tidak terbaca)

Munkar wa Nakir bukan kepalang, suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang, cabuknya banyak tiada terbilang.

Kenali dirimu, hai anak dagang! di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang, dengan siapa lawan berbincang?


La ilaha illallahu itulah firman, Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap, siang dan malam jangan dilalaikan.

La ilaha illallahu itu terlalu nyata, tauhid ma’rifat semata-mata,
memandang yang ghaib semuanya rata, lenyapkan ke sana sekalian kita.

La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah, sekalian makhluk ke sana berpindah,
da’im dan ka’im jangan berubah, khalak di sana dengan La ilaha illallahu.

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan, siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan, Allah dan rasul juga yang menyampaikan.

La ilaha illallahu itu kata yang teguh, memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh, hendak membawa dia bersungguh-sungguh.

La ilaha illallahu itu kesudahan kata, tauhid ma’rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara, hamba dan Tuhan tiada berbeda.


La ilaha illallahu itu tempat mengintai, medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai, siang dan malam jangan bercerai.

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah, menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah, pertemuan Tuhan terlalu susah.

~ Hamzah Fansuri

Friday, March 4, 2011

Penjelasan kebenaran jual beli emas oleh Bank Negara Malaysia

Tuan,
Kami merujuk kepada emel tuan bertarikh 13 Februari 2011 mengenai
perkara di atas.
Kami ingin memaklumkan bahawa aktiviti membeli atau menjual emas
bukanlah di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (Bank). 
Sehubungan dengan ini, tiada lesen khas atau kebenaran untuk berniaga emas diperlukan daripada Bank
 

Walau bagaimanapun, kami ingin menasihati
pihak tuan agar berhati-hati terhadap apa-apa bentuk skim pelaburan
berbentuk emas yang menawarkan pulangan yang tinggi kepada para pelabur.
Jika skim pelaburan tersebut jelas menawarkan peluang pelaburan dengan
mengutip wang orang ramai dan kutipan atau pelaburan tersebut diberi
pulangan mengikut jangkamasa tertentu yang mana pelaburan asal juga
boleh diambil semula, ianya mungkin menyalahi seksyen 25(1) Akta Bank
dan Institusi Kewangan (ABIK). Aktiviti pelaburan seperti yang disebut
di atas adalah menyalahi undang-undang. Sekiranya tuan melabur di sini,
sebarang kerugian adalah ditanggung sendiri. Kami mengesyorkan agar
tuan hanya melabur di institusi-institusi kewangan yang berlesen sahaja.
Untuk kemudahan tuan mengenal pasti sama ada sesebuah institusi
kewangan/syarikat itu berlesen dengan Bank atau sebaliknya, sila rujuk
senarai institusi kewangan/syarikat yang diberi lesen oleh Bank di laman
web kami seperti di pautan berikut:
Sekiranya syarikat/institusi kewangan tersebut TIDAK TERSENARAI di dalam
laman web kami, bermakna syarikat tersebut TIDAK DIBERI LESEN oleh Bank
untuk menjalankan operasi atau menawarkan produk/perkhidmatan kewangan.
Sekiranya tuan mempunyai maklumat berkenaan pengambilan deposit secara
haram ataupun urusniaga wang asing secara haram, atau mangsa kepada
aktiviti atau penipuan tersebut, hantarkan maklumat terperinci atau
aduan beserta dokumen-dokumen sokongan ke Bank di alamat berikut:
Unit Penyiasatan Khas
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Faks: 03-26987467
E-mail: bnmtelelink@bnm.gov.my
Bersama-sama ini turut dilampirkan panduan kepada pengguna berkaitan
isu-isu kewangan untuk makluman.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang amaran penipuan kewangan, sila
layari
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbankan, insurans & takaful,
sila layari
Terima kasih.
Fadhilah bt Zainal Abidin
BNMTELELINK
Bank Negara Malaysia
No Tel : 1-300-88-5465
No Faks : 03-21741515
Emel: bnmtelelink@bnm.gov.my 

Sumber diperoleh dari laman Bullion dan Dinar.